Sunday, February 7, 2010

Remaja : Iman VS Rakan

Alam remaja tak lekang cabaran. Daya inkuiri yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang baru amat ketara. Perasaan dan keinginan bergelora hebat. Ia suatu tempoh transisi menuju dewasa. Rakan sebaya biasanya sangat berpengaruh dalam kehidupan seseorang remaja dalam tempoh ini.

Seringkali setiap remaja keliru untuk berhadapan dengan segala sesuatu. Sukar untuk menentukan bagaimanakah sepatutnya perasaan, konsep dan penilaian sebenar terhadap masalah-masalah, terhadap peristiwa-peristiwa dan juga terhadap individu manusia pada keseluruhannya.

Firman Allah S.W.T. ;


وَلا تَهِنُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الأعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

" Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. "
(Surah Ali 'Imran: ayat 139)


Rasa mulia dan tinggi dengan iman, suatu perasaan yang sungguh memotivasikan hidup. Perasaan ini akan menjadikan hidup lebih terarah dalam menghadapi setiap realiti, kemungkinan dan nilaian manusia. Muslim beriman akan memegang Iman dan nilainya mengatasi segala bentuk nilai yang datang dari sumber yang lain. Sungguh hebat perasaan ini mempengaruhi hidup seseorang yang yakin dengannya.

Begitulah remaja beriman takkan mudah goyah dengan nilaian kawan-kawan. Tetap teguh pendirian apabila kawan-kawannya mengejek lekeh jika tidak merokok. Atau memandang tak laku jika
belum berpunya. Dia tak mudah melatah apabila dianggap ’skema’. Imannya menjadi perisai apabila diajak berfoya-foya.

Hebat sekali kuasa iman. Rasa mulia dengan iman ini suatu perasaan yang perlu ditanam dan disuburkan hinggalah ianya tidak menjadi suatu perasaan yang hangat-hangat tahi ayam sahaja. Perasaan agung itu mestilah berdasarkan kebenaran Allah yang Maha Hidup dan tidak mengenal mati. Kebenaran yang tetap hidup walaupun dicabar oleh kekuatan, oleh konsep dan realiti yang sering berlegar dalam kehidupan seharian remaja.

Contohnya, remaja beriman akan
tegas berkata,

”Saya takkan menjadi robot yang hanya terpacak di hadapan tv, diikat hidung oleh media yang sering menghidangkan hiburan.”

Kebanyakan remaja hari ini terdedah dengan arus globalisasi hingga mempunyai cara berfikir sendiri yang sangat berpengaruh sesama mereka. Persekitaran dan didikan juga menyebabkan mereka mempunyai nilai-nilai yang sukar untuk ditentang; nilai yang menekan rakan sebayanya untuk turut terikat dengannya.

”Tak keluar dating? Apa kuno sangat kamu ni? Ni bukan zaman nenek moyang dulu.”

Inilah hanyalah salah satu contoh pemikiran remaja kita.

Cara berfikir, dan nilai itu menekan remaja lain yang tidak mempunyai persediaan yang kukuh. Begitu juga setiap konsep yang membelenggu cara berfikir remaja hari ini memang mempunyai ikatan yang kukuh dan kuat, yang sukar dikikis jika tidak dihadapi dengan suatu konsep yang kebal yang diceduk dari Allah S.W.T. Setiap remaja yang menentang arus, yang menentang cara berfikir remaja lain, menentang nilai hidup mereka dan sebagainya, tentu akan merasa
tersisih dan bersedih hati, jika tidak berpegang kepada dahan yang lebih kukuh dari manusia itu sendiri.


Allah S.W.T. pasti tidak membiarkan orang-orang yang beriman keseorangan menghadapi tekanan, kesepian menanggung beban yang berat itu. Oleh kerana itu, sungguh indah (Surah Ali 'Imran: ayat 139) memujuk setiap orang beriman.
Sesungguhnya orang yang beriman itulah orang yang paling tinggi darjat tempat pergantungannya.

Kenapa nilai remaja lain perlu lebih berpengaruh dalam hidup kita berbanding nilaian Allah yang menciptakan kita semua?

Fikir-fikirkanlah.

Contohilah keberanian Rabi’ bin Amir dalam menyatakan imannya di hadapan Rustam menjelang perang Qodisiyyah.

"Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya daripada pengabdian terhadap hamba kepada pengabdian kepada Allah s.w.t., dari kesempitan dunia kepada keselesaan hidup dunia dan akhirat, juga dari kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam. "

Wahai remaja beriman, kita belum lagi diuji berhadapan kuasa kafir sebagaimana Rabi’ bin Amir berhadapan Rustam, kita baru diuji berhadapan dengan suara-suara rakan sebaya. Kenapa perlu gentar menyatakan iman kita terhadap mereka bagi menolak segala ajakan dan dakwaan yang tidak sihat? Jangan mudah mengalah.
Rasa mulia dan tinggilah dengan iman.

No comments:

Post a Comment

networkedblogs